November 27, 2011

Alhamdulillah...


UMP raih 9 pingat di BioMalaysia 2011



Kuala Lumpur, 21 November- Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus mencatat kejayaan apabila meraih sembilan pingat iaitu satu emas, satu perak dan tujuh gangsa dalam Pameran BioMalaysia 2011 dan Sidang Kemuncak RIM Pasifik Mengenai Industri dan Biotenaga 2011 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pingat emas UMP diraih oleh Dr. Arun Gupta dari Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA) menerusi projek penyelidikannya bertajuk "Formulation of Anti Aging Cream With UV Protection From Chicken Feathers".
Manakala projek penyelidikan bertajuk "Production of Second Generation Biodiesel From Rubber Seed Oil Using Cement Clinker Derived Catalyst" oleh Dr. Jolius Gimbun juga dari FKKSA meraih pingat perak.
UMP yang mempertaruhkan 11 projek penyelidikan pada kali ini turut berbangga apabila ruang pamerannya dianugerahkan sebagai ruang pameran terbaik bagi kategori ruang pameran mesra pengunjung.
Tujuh produk penyelidikan UMP meraih pingat gangsa iaitu tiga dari Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI), "Bioleaching of Silver Nano Particles from Hazardous Wastes" oleh Dr. Essam Abdellatof Makky, "Biolabisia – A Standardized Plant Extract For Weight Management" oleh Profesor Dr. Mashitah Mohd Yusoff dan "Gaharu Aromaster Kit" oleh Dr. Saiful Nizam Tajuddin .



Turut menerima pingat gangsa adalah Profesor Madya Dr. Ghazi Faisal Najmuldeen dari FKKSA menerusi projek penyelidikan bertajuk "Castor Oil The Future Industrial Oil For Malaysia", Nor Maniha Abdul Ghani dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) menerusi projek "Eco-cell – A Novel Vermicomposting Method for Energy Production (Waste to Wealth)" , Dr. Wan Mohd Faizal Wan Ishak dari Pusat Penyelidikan dan Pengurusan Sumber Alam (CERRM) bertajuk "Biodegradation Treatment Solution" dan Noor Suraya Romali dari Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA) menerusi "Application of N-Filter For Wastewater Treatment".
Lain-lain Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mengambil bahagian ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Pada majlis ini juga menyaksikan pelancaran Strategi Biomas Kebangsaan yang dirasmikan Dato’ Sri Mohd Najib mengenai dasar baharu bagi meningkatkan kemampuan negara dalam bidang biomas ke arah menjadikan hab dunia dalam bidang bioekonomi dan bioteknologi.
Dalam ucapannya beliau berkata, strategi baharu yang bertemakan ‘Biomas Ke Arah Kekayaan’ itu akan dibangunkan oleh Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dengan kerjasama Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MiGHT), agensi kerajaan berkaitan serta sektor korporat dan universiti.
"Strategi ini akan mendorong kepada perkembangan industri bernilai tinggi yang baharu seperti biotenaga dan biokimia serta menjana 70,000 peluang pekerjaan dengan 40,000 merupakan pekerjaan berkemahiran tinggi," katanya.
Pada masa yang sama beliau turut mengumumkan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), BiotechCorp dan agensi-agensi berkaitan akan melancarkan satu pelan cadangan Bioekonomi bagi Malaysia bagi melengkapi Dasar Bioteknologi Negara.
Hadir sama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Tuan Haji Fadillah Yusoff dan Pengerusi Biotech Corporation, Tan Sri Ahmad Zaharudin Idrus.

Posted By : SYED MOHD HAFIDZ BIN SYED HUSSIN Date Posted : 25-11-2011, 15:23:06



Article ni aku ambil dr laman web UMP....
Alhamdullah... itu yang mampu kuucapkan dengan kejayaan ni...
semoga ini adalah permulaan yang baik kepada aku untuk membina kerjaya yang terbilang... Amin...

Begitu juga dengan sahabat2 yang lain...
Jom kita membina kejayaan bersama.... ^_^

1 comment: